Brain-Derived Neurotrophic Factor (BDNF): Penting untuk Ingatan dan Pembelajaran

Pernah dengar tentang BDNF? Nama panjangnya Brain-Derived Neurotrophic Factor, sejenis protein yang sangat penting untuk otak. Kalau diibaratkan, BDNF ni macam baja untuk pokok, tanpa baja, pokok akan lambat tumbuh. Begitulah BDNF untuk otak.

Apa Itu BDNF?


BDNF boleh diibaratkan seperti ‘baja’ untuk sel-sel otak. Ia membantu menumbuhkan sel otak baru dan memastikan ia kekal sihat. Ia juga menggalakkan pembentukan sambungan baharu antara neuron.  Apabila anak belajar perkara baharu, otaknya perlu bina sambungan antara neuron. Di sinilah BDNF memainkan peranan penting di mana ia menyuburkan sambungan ini agar lebih kukuh dan berkesan. Dalam bahasa mudah, makin banyak BDNF, makin mudah otak belajar dan ingat maklumat.

Kenapa BDNF Penting untuk Anak Kita?


Anak yang mempunyai paras BDNF yang sihat cenderung mempunyai daya ingatan yang lebih kuat, lebih fokus semasa belajar, dan lebih tenang menghadapi tekanan akademik. Sebaliknya, jika paras BDNF terlalu rendah, anak mudah lupa, cepat hilang tumpuan dan kurang berminat untuk belajar kerana otaknya kurang efisien dalam memproses maklumat baharu.

Faktor yang Boleh Merendahkan Tahap BDNF


Gaya hidup moden sering kali menyumbang kepada penurunan BDNF. Tekanan emosi yang berterusan, tak cukup tidur, pemakanan tidak sihat dan gaya hidup sedentari adalah antara punca utama. Semua ini boleh menyekat keupayaan otak untuk menghasilkan BDNF secara semula jadi.

Apa Yang Boleh Kita Lakukan?

Berita baiknya, BDNF boleh ditingkatkan secara semula jadi:

  1. Senaman seperti berjalan laju, berbasikal atau berenang boleh merangsang pengeluaran BDNF. 
  2. Tidur yang cukup juga penting untuk proses pemulihan dan pengukuhan memori dalam otak. 
  3. Pemakanan sihat turut memainkan peranan penting. Makanan yang kaya dengan omega-3 (seperti ikan), vitamin D, dan antioksidan seperti beri biru dan coklat gelap dapat menyokong penghasilan BDNF.
  4. Aktiviti mental juga penting. Galakkan anak membaca, bermain alat muzik, melukis atau mencuba permainan strategi seperti puzzle. Semua ini bantu otak anak kekal aktif dan sihat.

BDNF adalah faktor penting yang menyokong keupayaan anak untuk belajar dengan berkesan. Sebagai ibu bapa, kita tidak perlu menunggu hingga anak ‘bermasalah’ untuk bertindak. Dengan langkah kecil seperti menggalakkan gaya hidup aktif, tidur berkualiti dan pemakanan sihat, kita sebenarnya sedang membina asas otak yang lebih kuat untuk masa depan anak-anak kita.

error: Content is protected !!