5 Cara Paling Simple untuk Tajamkan Memori Anak

Memori yang tajam bukan sahaja membantu anak mengingati fakta, malah membolehkan mereka memahami konsep dengan lebih mendalam, menyusun pemikiran dengan baik dan membuat keputusan yang lebih bijak. Dalam dunia pembelajaran hari ini yang semakin mencabar, daya ingatan yang kuat adalah satu kelebihan besar bagi anak-anak.

Sebagai ibu bapa, anda boleh memainkan peranan besar dalam membantu memperkuatkan daya ingatan anak. Kali ini kami akan huraikan 5 cara paling mudah dan berkesan untuk merangsang memori anak dan semuanya boleh dimulakan dari rumah.

5 Cara Paling Mudah dan Berkesan Untuk Merangsang Memori Anak

1. Pastikan anak cukup tidur

Tidur adalah masa di mana otak ‘menyimpan’ apa yang dipelajari sepanjang hari dan  mengukuhkan sambungan neuron yang berkaitan dengan ingatan. Sebab itulah, anak yang tidak cukup tidur akan sukar untuk menumpukan perhatian dan lebih mudah terlupa.

Contohnya, jika anak belajar matematik hari ini, tetapi tidur lewat dan tidak lena, kemungkinan besar mereka akan menghadapi kesukaran untuk mengingat kembali konsep atau formula tersebut keesokan harinya. 

Jadi pastikan anak mendapat 9–11 jam tidur bergantung pada usia dan kurangkan pendedahan kepada skrin sekurang-kurangnya satu jam sebelum waktu tidur.

2. Galakkan Aktiviti Fizikal Setiap Hari

Senaman adalah salah satu perkara paling penting untuk menyokong kesihatan otak. Aktiviti fizikal membantu meningkatkan aliran darah ke otak, membawa oksigen dan nutrien yang penting serta merangsang penghasilan dopamin iaitu sejenis bahan kimia dalam otak yang memberikan rasa positif dan bermotivasi.

Lebih menarik, senaman juga merangsang pengeluaran BDNF (Brain-Derived Neurotrophic Factor), sejenis protein yang membantu menumbuhkan sel otak baru untukdaya ingatan yang lebih kuat, lebih fokus semasa belajar, dan lebih tenang menghadapi tekanan akademik. Ia ibarat baja semula jadi untuk otak anak.

Sebagai ibu bapa, galakkan anak melakukan aktiviti fizikal yang menyeronokkan setiap hari seperti bermain bola, berbasikal, menari atau berlari di taman. Jika dilakukan secara konsisten, ia bukan sahaja menyihatkan tubuh, malah menajamkan minda.

3. Rangsang Minda Anak dengan Permainan dan Aktiviti Kreatif

Permainan yang mencabar minda seperti puzzle, permainan kad memori, teka silang kata, lego dan aktiviti seni merangsang pelbagai bahagian otak. Ia bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga melatih kemahiran berfikir, menyusun maklumat dan mengingat butiran.

Jadi ibu ayah, luangkan masa sekurang-kurangnya 15–30 minit sehari untuk aktiviti yang tidak melibatkan skrin dan memberi peluang anak berfikir secara kreatif.

4. Bantu Anak Tenangkan Diri dan Kurangkan Stres

Siapa kata anak kecil tak boleh rasa tertekan? Mereka juga cenderung untuk mengalami tekanan disebabkan oleh silibus pelajaran yang makin sukar, dibanding-bandingkan dengan rakan-rakan ataupun harapan ibu bapa yang terlalu tinggi pada mereka.

Tekanan yang berpanjangan boleh menjejaskan fungsi memori. Oleh itu, bantu anak belajar cara untuk bertenang. Aktiviti seperti regangan ringan, yoga atau bahkan urutan ringan boleh membantu.

Kajian menunjukkan bahawa aktiviti seperti yoga dan urutan bukan sahaja memperbaiki fungsi fizikal tetapi juga menyokong mood serta mengurangkan hormon stres seperti kortisol. Malah, ia membantu meningkatkan neurotransmitter seperti serotonin dan dopamine yang penting untuk keseimbangan emosi dan fokus.

Menariknya lagi, amalan pernafasan dalaman antara cara kawal stres yang paling mudah dan berkesan. Ajar anak tarik nafas dalam selama 4 saat, tahan 4 saat dan hembus 4 saat. Lakukan rutin pernafasan ini sebelum tidur atau sebelum belajar.

5. Beri Makanan yang Menyokong Kesihatan Otak

Pemakanan memberi kesan besar terhadap fungsi otak. Makanan yang kaya dengan nutrien seperti omega-3, antioksidan dan phosphatidylserine sangat membantu dalam pembentukan dan perlindungan sel otak.

Antara makanan terbaik untuk otak ialah:

  • Ikan berlemak (seperti ikan kembung dan sardin)
  • Kacang soya (mengandungi phosphatidylserine)
  • Telur (mengandungi kolin)
  • Buah beri (antioksidan tinggi)
  • Sayuran hijau (seperti bayam, brokoli)
  • Kekacang dan bijian (sumber lemak sihat dan magnesium)

Elakkan makanan ultra-proses seperti sosej, nuget, minuman manis dan snek tinggi gula yang boleh merosakkan fungsi kognitif.


Memori anak yang mantap bukan sesuatu yang berlaku semalaman, tetapi ia adalah hasil daripada rutin dan usaha konsisten setiap hari. Peranan ibu bapa sangat penting dalam membentuk persekitaran yang menyokong perkembangan kognitif anak.

Dengan memastikan anak cukup tidur, aktif secara fizikal, makan dengan betul,ransang minda dengan aktiviti bermanfaat, membantu mereka menguruskan emosi dan bekalkan mereka pemakanan yang tepat, anda sebenarnya sedang membina asas yang kukuh untuk kejayaan mereka.

Mulakan dengan satu perubahan hari ini kerana otak yang kuat bermula dengan langkah yang kecil tetapi berterusan.

error: Content is protected !!