Pernah tak ibu ayah terfikir, apa sebenarnya sedang berlaku dalam otak anak ketika mereka bermain, tidur, belajar atau ketika mereka marah? Di sebalik tawa riang, rengekan manja atau tantrum yang kadang-kadang menguji kesabaran, otak anak sebenarnya sedang bekerja dengan sangat aktif. Ia bukan sekadar memproses maklumat tetapi juga sedang membentuk emosi, membina sambungan saraf baharu dan mencorakkan cara mereka berfikir, belajar dan berhubung dengan dunia sekeliling.
Setiap pengalaman harian mereka walaupun nampak kecil sebenarnya sedang membina asas kepada siapa mereka akan jadi pada masa hadapan. Sebab itulah penting untuk kita sebagai ibu ayah untuk memahami bagaimana otak anak berfungsi dalam situasi harian ini dan bagaimana kita boleh bantu menyokong perkembangannya dengan lebih baik.

1. Ketika Bermain: Saat Otak Anak Belajar Paling Aktif
Ramai ibu ayah anggap bermain hanyalah masa untuk berseronok. Tapi dari sudut sains, bermain adalah cara semula jadi otak anak belajar dan berkembang. Semasa bermain:
- Otak anak sedang membina sambungan saraf baharu, terutama di bahagian yang berkait dengan imaginasi, fokus dan kebolehan menyelesaikan masalah.
- Pergerakan fizikal membantu melancarkan aliran darah ke otak, membawa oksigen dan nutrien yang diperlukan untuk menyokong perkembangan otak.
- Bermain bersama rakan pula membentuk kemahiran sosial, seperti belajar berkongsi, bergilir dan memahami perasaan orang lain.
Setiap kali anak bermain sama ada berlari atau melukis, otak mereka sedang giat membina asas untuk menjadi lebih bijak dan yakin.
2. Ketika Tidur: Otak Menyimpan, Menyusun dan Memulihkan
Waktu anak tidur, kita mungkin sangka otak mereka sedang berehat. Tapi sebenarnya, otak anak sangat aktif ketika mereka tidur. Antara yang berlaku dalam otak semasa tidur:
- Maklumat baru yang dipelajari sepanjang hari akan disusun dan disimpan sebagai memori jangka panjang.
- Sambungan saraf yang kurang penting akan ‘dipadam’, supaya hanya sambungan yang kuat dan berguna dikekalkan.
- Emosi yang dialami siang hari akan diproses, menjadikan anak bangun dengan emosi yang lebih stabil.
Sebab itulah tidur yang cukup dan berkualiti sangat penting, bukan sekadar untuk tenaga tapi juga untuk pembelajaran, fokus dan kawalan emosi anak keesokan harinya.
3. Ketika Belajar: Otak Sedang Bina Laluan Baru
Setiap kali anak membaca, menulis, mengira atau bertanya soalan, otak mereka sedang membina laluan pemikiran yang baru. Semakin kerap mereka ulang sesuatu topik, semakin kuat sambungan saraf itu terbentuk, menjadikan maklumat lebih mudah difahami dan diingati.Tapi untuk proses ini berlaku dengan baik, otak anak perlukan beberapa perkara penting:
- Tenaga yang cukup- daripada makanan yang berkhasiat dan tidur yang berkualiti
- Emosi yang stabil- anak belajar lebih baik bila mereka rasa tenang dan selamat
- Cara pembelajaran yang sesuai dengan umur dan tahap mereka
Jika anak belajar dalam keadaan penat, tertekan atau terpaksa, otak mereka akan aktif di bahagian kawalan emosi, bukan bahagian yang memproses maklumat. Inilah sebabnya anak mudah lupa walaupun dah diajar berulang kali.
4. Ketika Marah: Otak Anak Masuk ‘Mod Bertahan’
Pernah tengok anak mengamuk, menjerit atau menangis tanpa sebab yang jelas? Sebenarnya, bila anak marah, otak mereka sedang masuk ke mod ‘bertahan’ seolah-olah rasa terancam dan perlu melindungi diri.
Dalam situasi ini:
- Bahagian berfikir (prefrontal cortex) jadi kurang aktif, sebab itu anak susah nak dengar arahan atau faham apa yang kita cakap masa tu.
- Hormon stres seperti kortisol dilepaskan, menjadikan anak lebih mudah ‘meletup’, sukar bertenang dan tak dapat kawal perasaan.
- Jika dibiarkan berlarutan, emosi yang tak terkawal ini boleh ganggu perkembangan otak, terutama dalam membina keyakinan dan kawalan diri.
Sebab itulah, bila anak marah atau tantrum, tugas ibu ayah bukan sekadar suruh mereka diam tapi bantu mereka kenal, faham dan urus emosi itu dengan cara yang lebih sihat.
Otak anak anda tidak pernah berhenti bekerja. Ketika mereka bermain, tidur, belajar atau marah, ribuan sambungan saraf sedang terbentuk, emosi sedang dilatih dan potensi sedang dibentuk. Sebab itulah, sokongan daripada ibu bapa bukan sekadar penting, ia adalah kunci utama dalam membina masa depan mereka.
Dengan rutin harian yang seimbang, kasih sayang yang konsisten serta nutrisi yang menyokong fungsi otak, ibu ayah sedang membuka jalan untuk anak membesar sebagai individu yang lebih fokus, tenang dan yakin. Sokong dengan Eskayvie Mindtropic, vitamin minda nombor satu pilihan ibu ayah untuk anak yang membesar dalam dunia yang pantas, kompleks dan penuh cabaran.