Anak yang dulunya ceria kini semakin diam, wajahnya lesu dan hilang semangat ke sekolah. Setiap hari disertai keluhan seperti “penat” atau “tak larat” dan perubahan emosi yang ketara seperti cepat marah, lebih sensitif atau berkurung dalam bilik. Ramai ibu ayah yang menganggap ini hanya fasa malas atau bosan, sedangkan ia mungkin petanda burnout. Burnout adalah keletihan fizikal dan mental yang berlaku apabila anak terlalu lama berada dalam tekanan tanpa rehat yang mencukupi.
Jika tidak ditangani segera, burnout boleh memberi kesan besar terhadap perkembangan emosi, prestasi akademik dan keyakinan diri anak. Sebagai ibu ayah, tugas kita bukan sekadar memastikan anak cemerlang dalam peperiksaan tetapi juga menjaga kestabilan emosi dan kesihatan mental mereka agar mereka membesar dalam keadaan seimbang, sihat dan bahagia.
Tanda-Tanda Anak Sedang Alami Burnout
Anak kecil mungkin tak pandai meluahkan dengan kata-kata, tapi mereka tunjukkan melalui tingkah laku:
- Sering mengeluh penat walaupun tidur cukup
- Mudah marah, menangis atau sensitif tanpa sebab jelas
- Hilang semangat untuk belajar atau buat kerja sekolah
- Terlalu pendiam atau sebaliknya, terlalu gelisah
- Cepat bosan, hilang minat terhadap hobi yang dulu digemari
- Sukar untuk fokus walaupun hanya beberapa minit
- Mengadu sakit kepala atau sakit perut secara kerap
Jika dua atau lebih tanda ini berlarutan lebih seminggu, itu petanda anak perlukan bantuan dan perhatian segera.
Punca Anak Mengalami Burnout Yang Ibu Bapa Perlu Tahu
1. Jadual Yang Terlalu Padat
Setiap hari penuh dengan sekolah, tuisyen, kelas tambahan, latihan sukan, kelas agama dan tiada ruang untuk bermain atau berehat. Anak jadi penat bukan hanya fizikal, tapi juga mental.
2. Tekanan Untuk Sentiasa Cemerlang
Anak rasa perlu jadi ‘sempurna’, mesti dapat markah tinggi, mesti dapat pujian. Bila gagal, mereka rasa tak cukup bagus. Ini mencetuskan stres dalaman yang mereka pendam.
3. Kurang Waktu Untuk Diri Sendiri
Masa bermain diganti dengan jadual belajar. Masa rehat diganti dengan ulangkaji. Anak perlukan ruang untuk “menjadi budak biasa”, berlari, ketawa, meneroka dunia.
4. Pemakanan dan Tidur Tidak Teratur
Otak anak perlukan nutrisi dan tidur yang cukup untuk berfungsi secara optimum. Tanpa dua perkara ini, anak akan cepat lesu, cepat emosi dan mudah ‘shut down’.
7 Cara Praktikal Untuk Menyokong Kesihatan Minda Anak & Elakkan Burnout
1. Hormat Masa Rehat Anak
Bukan setiap masa kena belajar. Bantu anak bina keseimbangan antara belajar dan rehat. Biarkan mereka berehat tanpa rasa bersalah.
2. Galakkan Aktiviti Yang Bukan Akademik
Beri ruang untuk mereka buat aktiviti bebas tekanan seperti mewarna, bermain di luar, menanam pokok, atau memasak bersama. Ini bantu ‘reset’ emosi mereka.
3. Berikan Sokongan, Bukan Tekanan
Fokus pada usaha, bukan keputusan. Bila anak tahu ibu bapa menghargai usaha, bukan sekadar A atas kertas, mereka akan rasa lebih yakin dan tenang.
4. Cipta Rutin Harian Yang Stabil
Anak perlukan kestabilan. Rutin harian yang jelas bantu mereka rasa lebih teratur dan terkawal seperti waktu tidur, makan, belajar, dan bermain.
5. Bercakap Dengan Anak Setiap Hari
Buka ruang untuk mereka berkongsi cerita dan bukan soal pelajaran saja tapi juga perasaan mereka. Kadang-kadang, cukup kita dengar tanpa membetulkan.
6. Jaga Makanan & Tidur Anak
Sarapan sihat, air kosong yang cukup dan tidur sebelum 9.30 malam boleh beri kesan besar pada fokus, emosi dan prestasi otak anak.
7. Pertimbang Sokongan Nutrisi Tambahan
Jika anak masih mudah letih, sukar fokus dan cepat tertekan, pertimbangkan suplemen semulajadi yang menyokong kesihatan minda tapi pastikan sesuai dengan usia dan keperluan mereka.
Dalam kesibukan mengejar kejayaan akademik dan impian masa depan, kita kadang lupa bahawa anak-anak kita hanyalah manusia kecil yang juga penat, stres dan ingin dimengerti. Mereka bukan robot. Mereka bukan mesin. Mereka tidak dilahirkan untuk belajar semata-mata tetapi untuk merasa, menjelajah, berfikir dan membina diri mereka sedikit demi sedikit dengan bimbingan penuh kasih sayang.
Burnout dalam kalangan anak adalah realiti yang berlalu pada zaman kini. Dan kita, sebagai ibu ayah adalah benteng pertama yang boleh menghalangnya. Beri mereka ruang untuk berehat. Dengar mereka. Terima emosi mereka. Dan jika perlu, berikan mereka sokongan tambahan, termasuk dari segi pemakanan, nutrisi, atau rutin harian yang lebih tenang dan tersusun.