“Otak yang cerdas bukan hanya bergantung pada kecerdikan semula jadi. Ia bergantung kepada keseimbangan kimia dalam otak yang menyokong emosi, motivasi, fokus dan daya ingatan.”
Ramai ibu bapa menitikberatkan akademik tetapi kurang sedar bahawa fungsi otak anak sangat bergantung kepada molekul yang dikenali sebagai neurotransmitter, bahan kimia penting yang membawa mesej antara sel otak.
Tanpa keseimbangan neurotransmitter, anak mungkin kelihatan cepat merajuk, susah fokus, hilang semangat belajar atau mudah lupa apa yang telah dipelajari.

Apa Itu Neurotransmitter?
Neurotransmitter ialah molekul yang bertindak sebagai “penghantar mesej” antara sel saraf di dalam otak. Ia penting dalam:
- Mengawal emosi
- Menjana motivasi
- Menguatkan memori
- Meningkatkan fokus
Otak anak yang mempunyai paras neurotransmitter yang seimbang akan lebih bersedia untuk belajar, berfikir dan mengawal tingkah laku dengan baik.
4 Neurotransmitter Utama Dalam Otak Anak
1. Serotonin- Untuk Emosi Yang Stabil dan Anak Ceria
Serotonin digelar “hormon gembira” kerana ia membantu mengawal mood dan emosi.
Tahap serotonin yang mencukupi menjadikan anak lebih ceria, kurang tantrum dan mudah bekerjasama. Anak yang kekurangan serotonin cenderung murung, cepat kecewa atau mudah meragam.
2. Dopamine- Untuk Motivasi dan Rasa Seronok Belajar
Dopamine ialah ‘bahan kimia ganjaran’ dalam otak. Ia memberi rasa puas apabila anak menyelesaikan sesuatu. Dopamine memainkan peranan besar dalam membangkitkan minat dan semangat untuk belajar. Tanpa dopamine yang cukup, anak mudah hilang minat, cepat bosan dan sukar kekal bermotivasi.
3. Acetylcholine- Untuk Memori Kuat dan Tindak Balas Cepat
Acetylcholine sangat penting dalam pembelajaran dan ingatan. Ia membantu dalam pembentukan memori jangka pendek dan panjang, serta menjadikan proses hafalan lebih lancar. Paras acetylcholine yang rendah boleh menyebabkan anak sukar ingat apa yang dipelajari atau lambat respon terhadap soalan.
4. Norepinephrine- Untuk Fokus dan Kepekaan
Neurotransmitter ini memainkan peranan dalam meningkatkan fokus, kewaspadaan dan daya tumpuan. Ia juga membantu otak bertindak balas terhadap rangsangan dan tekanan. Anak yang kurang norepinephrine mudah terganggu, susah duduk diam atau cepat hilang fokus semasa belajar.

Bagaimana Nak Sokong Penghasilan Neurotransmitter Secara Semula Jadi?
Untuk memastikan otak anak berfungsi secara optimum, penghasilan neurotransmitter ini perlu disokong melalui:
1. Pemakanan Seimbang
- Makanan kaya Omega-3, vitamin B, magnesium, zat besi dan antioksidan
- Buah, sayur, kekacang, ikan berlemak dan bijirin penuh
2. Tidur Cukup dan Berkualiti
- 9–11 jam sehari untuk kanak-kanak sekolah rendah
- Tidur membantu otak memproses dan menyimpan maklumat
3. Aktiviti Fizikal dan Permainan Aktif
- Senaman meningkatkan dopamine dan serotonin secara semula jadi
- Bermain bebas juga bantu perkembangan emosi
4. Sokongan Nutrisi Tambahan (Jika Perlu)
- Dalam sesetengah kes, suplemen minda yang dirumus khas boleh membantu menyokong fungsi neurotransmitter, terutamanya untuk anak yang sukar makan atau picky eater
Memahami fungsi neurotransmitter ialah langkah pertama ibu ayah dalam menyokong perkembangan minda anak. Dengan emosi yang stabil, motivasi yang tinggi, fokus yang tajam dan memori yang kuat, anak lebih bersedia untuk belajar dan berjaya dalam kehidupan.Otak bijak, hidup hebat. Dan ia bermula dengan keseimbangan kimia otak yang disokong oleh gaya hidup sihat dan nutrisi yang betul.