Pernah tak kita alami situasi seperti ini, “Eh… aku nak ambil apa tadi ya?” atau “macam kenal muka dia, tapi siapa nama dia ya?” Kalau pernah, jangan risau, bukan anda seorang saja! Ramai antara kita pernah mengalami saat di mana kita terlupa sesuatu perkara, walaupun baru je berlaku beberapa minit tadi.
Sebenarnya, apa yang berlaku dalam otak kita tu ada kaitan dengan cara memori kita berfungsi.
Apa Itu Memori?
Memori ialah keupayaan otak untuk menyimpan dan mengingat maklumat. Macam masa kita belajar ABC, kita guna memori untuk ingat huruf-huruf tu. Memori sangat penting supaya kita boleh belajar, ingat perkara penting, dan buat sesuatu dengan betul.
Jenis-Jenis Memori
Sebenarnya, otak manusia menyimpan maklumat menggunakan dua jenis sistem memori utama: memori jangka pendek dan memori jangka panjang.
1. Memori Jangka Pendek (Short-term Memory)
Dalam sains, memori jangka pendek merujuk kepada ruang simpanan sementara dalam otak yang membolehkan kita pegang maklumat dalam masa yang singkat biasanya sekitar 15 hingga 30 saat sahaja! Ianya dikawal oleh bahagian otak yang dipanggil prefrontal cortex.
Kita boleh bayangkan memori jangka pendek ini macam “meja kerja” otak kita, kecil je ruangnya. Jadi kalau terlalu banyak benda atas meja, maklumat boleh “terjatuh” atau hilang.
Contohnya, bila cikgu minta salin nombor telefon atau jawapan kuiz, kita boleh ingat untuk sekejap. Tapi kalau tak ulang atau tulis semula, maklumat itu akan hilang kerana otak tak sempat simpan dalam jangka panjang.
Memori jangka pendek atau dalam bahasa sains dikenali sebagai short-term memory (STM), berfungsi seperti meja kerja di dalam otak kita. Sistem ini menyimpan maklumat hanya untuk tempoh yang sangat pendek, biasanya sekitar 10 hingga 20 saat sahaja tanpa ada usaha untuk mengulang atau menyegarkan semula maklumat tersebut. Ianya dikawal oleh bahagian otak yang dipanggil prefrontal cortex.
Kapasiti memori jangka pendek juga terhad, ia hanya mampu menampung sekitar 5 hingga 9 item maklumat pada satu masa. Kalau kita cuba simpan lebih daripada itu, maklumat yang lain akan atau hilang.
Memori jangka pendek ini mempunyai beberapa komponen yang membantu kita mengurus maklumat dengan lebih baik, menurut model Memori Kerja Baddeley & Hitch:
- Gelung Fonologi (Phonological Loop) – Komponen ini menyimpan maklumat yang berbentuk audio atau bahasa, seperti nombor telefon atau perkataan yang kita dengar. Contoh: Bila cikgu bagi nombor telefon untuk salin, kita ingat nombor itu sementara dalam kepala.
- Papan Lakaran Visuo-Ruang (Visuo-Spatial Sketchpad) – Ini membantu kita menyimpan gambaran atau susunan ruang dan bentuk, seperti bayangkan peta kelas atau tempat di sekitar kita. Sebagai contoh, kita boleh bayangkan lokasi sesuatu benda di meja, tanpa perlu melihatnya.
- Pelaksana Pusat (Central Executive) – Komponen ini bertanggungjawab untuk mengawal perhatian kita, memilih fokus, dan menggabungkan maklumat lama dengan yang baru. Pelaksana pusat ini juga berfungsi untuk membuat keputusan dan mengarahkan perhatian kita kepada tugas yang lebih penting.
Selain menyimpan maklumat sementara, memori jangka pendek juga berfungsi sebagai tempat untuk kita berfikir secara aktif. Di sinilah kita memproses maklumat, membuat keputusan dan menggabungkan maklumat baru dengan maklumat yang lama.
2. Memori Jangka Panjang (Long-term Memory)
Memori jangka panjang pula ialah sistem simpanan jangka masa panjang dalam otak. Maklumat yang penting, sering diulang, atau ada kaitan dengan emosi akan dihantar ke bahagian otak yang dipanggil hippocampus, sebelum disimpan ke pelbagai bahagian otak. Berbeza dengan memori jangka pendek yang bersifat sementara, memori ini menyimpan maklumat yang telah dianalisis secara mendalam dan mempunyai makna tertentu.
Kita boleh bayangkan memori jangka panjang seperti “perpustakaan besar” yang menyimpan semua maklumat penting yang kita dah belajar atau alami.
Memori jangka panjang menyimpan pelbagai jenis maklumat seperti fakta, pengalaman peribadi, kemahiran motor, hingga kenangan emosi. Apa yang menarik, kapasiti ingatan ini tidak terbatas dan ia boleh berkembang seiring dengan pengalaman dan pembelajaran baru.
Bagaimana Proses Ini Berlaku?
Maklumat yang kita terima setiap hari tidak terus masuk ke memori jangka panjang. Ia perlu melalui beberapa tapisan penting:
1. Peringkat sensori – Maklumat diterima melalui pancaindera.
2. Ingatan jangka pendek – Maklumat disimpan sementara dan dinilai kepentingannya.
3. Pemprosesan semantik atau imagery coding – Maklumat yang penting akan melalui proses pemahaman atau divisualkan sebelum disimpan secara kekal.
4. Pengaruh emosi dan pengulangan – Maklumat yang menyentuh emosi atau sering diulang mempunyai peluang lebih tinggi untuk disimpan lama.
Kenapa Ingatan Ini Penting?
Memori jangka panjang adalah asas kepada segala pembelajaran dan pembentukan identiti diri. Ia membolehkan kita:
- Mengingati pelajaran atau kemahiran yang dipelajari bertahun-tahun lalu.
- Membuat keputusan berasaskan pengalaman.
- Mengenali orang tersayang dan menghargai memori bersama mereka.
- Mengukuhkan nilai dan kepercayaan diri.
Tanpa memori ini, seseorang mungkin sukar belajar, mengalami masalah identiti dan berisiko mendapat gangguan kognitif seperti Alzheimer.
Kenapa Kita Sering Lupa? Ini 4 Sebab Utama Yang Perlu Anda Tahu!
1. Tak Cukup Tidur
Tidur bukan sekadar untuk rehatkan badan, tapi juga penting untuk konsolidasi memori, proses di mana otak menyimpan maklumat baru ke dalam ingatan jangka panjang. Bila kita kurang tidur, otak jadi letih dan susah nak fokus, maklumat susah nak “lekat” dan kita mudah rasa mengantuk dan hilang daya ingatan.
2. Tak Fokus Ketika Belajar
Salah satu sebab utama kenapa kita cepat lupa ialah kerana kita tidak benar-benar memberi perhatian. Kadang-kadang kita dengar seseorang bercakap, contohnya cikgu sedang mengajar atau kawan bagi arahan, tapi fikiran kita melayang ke tempat lain. Walaupun telinga kita mendengar, otak kita tidak sempat memproses dan menyimpan maklumat tersebut dengan betul. Dalam sains, ini berlaku kerana maklumat gagal masuk ke memori jangka pendek. Kalau maklumat tak sempat masuk ke “meja kerja” otak, maka ia juga takkan dapat dipindahkan ke memori jangka panjang. Akhirnya, kita pun terus lupa apa yang dikatakan tadi.
3. Terlalu Banyak Maklumat Sekaligus
Belajar terlalu banyak perkara dalam satu masa boleh menyebabkan otak “overload”. Otak kita ibarat seperti “komputer” bila terlalu banyak fail dibuka serentak, ia jadi perlahan dan mudah “crash”.
4. Kurang Ulangkaji
Maklumat yang tidak digunakan akan dianggap tidak penting oleh otak, lalu ia akan “dibersihkan” dari ingatan. Tanpa ulangkaji, maklumat hanya berada dalam ingatan jangka pendek dan mudah hilang selepas beberapa jam atau hari.
Bagaimana nak kuatkan memori
1. Tidur Yang Cukup
Tidur bukan sekadar rehat. Ia adalah masa untuk otak ‘proses dan simpan’ segala maklumat yang kita pelajari sepanjang hari. Tanpa tidur yang berkualiti, otak jadi letih dan fungsi ingatan boleh merosot.
✅ Cadangan: Tidur 7–9 jam setiap malam. Elakkan gajet sejam sebelum tidur untuk bantu otak rehat.
2. Aktifkan Otak Dengan Senaman Minda
Otak kita ibarat otot perlu dilatih untuk jadi lebih kuat. Bila kita cabar diri dengan permainan minda, ia bantu tingkatkan tumpuan dan daya fikir.
✅ Cadangan Aktiviti: Main teka silang kata, sudoku, atau teka-teki dan hafal fakta pendek setiap hari
3. Ulangkaji dan Ulangan Berkala
Otak akan buang maklumat yang jarang digunakan. Ulangkaji adalah cara terbaik untuk ‘menghantar isyarat’ kepada otak bahawa maklumat itu penting.
✅ Tip: Gunakan kaedah spaced repetition dan flashcards. Ajar orang lain tentang apa yang anda pelajari untuk lebih kuatkan ingatan.
4. Lengkapkan pemakanan dengan nutrisi untuk minda
Makanan memainkan peranan penting dalam kesihatan otak. Nutrien tertentu terbukti mampu menyokong fungsi kognitif dan daya ingatan. Antaranya:
- Ikan berlemak (salmon, tuna, siakap, ikan patin): tinggi omega-3
- Buah beri: tinggi antioksidan
- Telur: kaya kolin untuk kesihatan sel saraf
- Kacang dan bijirin: sumber vitamin E dan lemak sihat



