Bila kita bercerita tentang gula, pasti ramai yang cakna akan mudaratnya yang boleh meningkatkan berat badan, meningkatkan risiko kencing manis dan macam-macam lagi. Namun, ramai yang kurang sedar, pemakanan yang tinggi gula boleh menjejaskan fungsi otak dan kesejahteraan emosi anak-anak.
Apa Maksud Gula Berlebihan?
Gula berlebihan bukan sahaja datang daripada gula-gula, kek dan aiskrim. Ia juga tersembunyi dalam minuman bergas, roti putih, bijirin sarapan, susu berperisa dan pelbagai jenis makanan terproses. Dalam kebanyakan kes, anak-anak mengambil jumlah gula yang berlebihan tanpa disedari.
Bagaimana Gula Menjejaskan Otak Anak?
- Mengganggu Fokus dan Tumpuan
Apabila anak mengambil gula, paras glukosa dalam darah akan meningkat dengan cepat lalu memberi ‘letupan tenaga’ yang singkat. Namun, sebaik sahaja paras itu menurun semula, anak akan cepat letih, gelisah dan hilang tumpuan. Keadaan ini menyukarkan mereka untuk fokus dalam kelas atau menyelesaikan tugasan. - Melemahkan Memori dan Daya Ingatan
Kajian menunjukkan bahawa pengambilan gula berlebihan dalam jangka masa panjang boleh melemahkan sambungan antara neuron iaitu bahagian penting dalam otak yang menyimpan dan menghubungkan maklumat. Akibatnya, anak sukar mengingati arahan atau pelajaran yang telah dipelajari. - Meningkatkan Risiko Gangguan Emosi
Lonjakan dan kejatuhan paras gula dalam darah menyebabkan ketidakseimbangan hormon dan bahan kimia otak (neurotransmitter) seperti serotonin dan dopamin. Ini boleh menyebabkan perubahan emosi mendadak, seperti mudah cemas, cepat marah atau tantrum tanpa sebab jelas. - Menggalakkan Keradangan dalam Otak
Salah satu kesan jangka panjang yang membimbangkan ialah peningkatan keradangan dalam otak. Gula berlebihan menyebabkan badan menghasilkan molekul keradangan. Ini boleh menjejaskan sel-sel otak, mengganggu proses pembelajaran, dan mengurangkan penghasilan BDNF (Brain-Derived Neurotrophic Factor) iaitu protein penting untuk pertumbuhan dan pembentukan sambungan neuron. - Merencatkan Perkembangan Otak
Tahap BDNF yang rendah akibat keradangan kronik boleh menyebabkan kelembapan dalam proses neuroplasticity. Otak anak menjadi kurang cekap untuk menyerap maklumat baharu, menyusun pemikiran, dan membentuk pemahaman yang mendalam.
Tanda-Tanda Anak Mengambil Gula Berlebihan
- Mudah letih selepas makan
- Sering mengalami perubahan emosi mendadak
- Sukar memberi tumpuan semasa belajar
- Cepat lapar walaupun baru makan
- Mengadu sakit kepala atau perut secara kerap
- Berat badan naik secara tidak terkawal
Berapa Banyak Gula Yang Masih Selamat?
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan kanak-kanak mengambil tidak lebih daripada 25g gula tambahan sehari – bersamaan kira-kira 6 sudu teh. Malangnya, satu tin minuman manis sahaja boleh mengandungi lebih daripada jumlah ini.
Bagaimana Ibu Bapa Boleh Kurangkan Gula dalam Pemakanan Anak?
- Baca label pemakanan – Kenal pasti perkataan seperti “sirap glukosa”, “fruktosa tinggi”, “maltosa” atau “dekstrosa” yang menandakan kehadiran gula tersembunyi.
- Tukar snek manis kepada snek sihat – Buah segar, kekacang tanpa garam, yogurt asli tanpa gula atau telur rebus boleh dijadikan alternatif yang sedap dan berkhasiat.
- Kurangkan minuman manis – Galakkan air kosong sebagai pilihan utama. Anda juga boleh buat jus buah segar tanpa gula tambahan atau air infused dengan lemon dan timun.
- Ajar anak buat pilihan sendiri – Libatkan mereka dalam membeli bahan makanan dan bantu mereka membaca label. Ini akan mendidik mereka sejak kecil tentang pentingnya pemakanan sihat.
Pemakanan anak kita bukan hanya tentang kenyang atau tenaga semata-mata. Ia memainkan peranan besar dalam membentuk keupayaan otak, emosi dan tingkah laku mereka setiap hari. Gula dalam jumlah sederhana adalah wajar, tetapi pengambilan berlebihan jika tidak dikawal boleh menyebabkan keradangan dan kerosakan fungsi otak dalam jangka masa panjang.
Sebagai ibu bapa, kita boleh membantu anak dengan membuat perubahan kecil tetapi konsisten bermula dengan pemilihan snek, mengurangkan minuman manis dan memberi mereka makanan sebenar yang menyokong pertumbuhan minda. Kerana otak yang sihat bukan hanya hasil pembelajaran, tetapi juga hasil daripada apa yang kita beri mereka makan setiap hari.
Sebagai ibu bapa, kita sering memberi tumpuan kepada akademik, tetapi kadangkala kita lupa bahawa otak anak perlukan ‘bahan bakar’ yang betul untuk berkembang dengan sihat. BDNF ialah protein penting yang boleh ditingkatkan secara semula jadi melalui pemakanan. Dengan membuat pilihan makanan yang tepat, kita bukan sahaja membantu anak jadi lebih bijak dan fokus, malah membina asas yang kukuh untuk masa depan mereka.
Jadikan dapur anda sebagai ‘pusat perkembangan otak’ kerana setiap sajian yang sihat adalah satu pelaburan untuk kecemerlangan anak.