Setiap manusia di dunia ini pasti akan berhadapan dengan pelbagai masalah dalam kehidupan dan jika tidak dapat menanganinya dengan baik, masalah-masalah ini akan menjadi punca berlakunya stres.
Stres adalah tindak balas fizikal, emosi dan mental seseorang terhadap sebarang ancaman, cabaran atau tuntutan yang mengganggu perjalanan normal sistem badan. Perlu difahami bahawa jika seseorang individu berasa terancam, badan akan mengaktifkan sistem saraf yang akan menghasilkan lebih banyak hormon stres termasuk adrenalin dan kortisol.
Buat pengetahuan, stres terbahagi kepada dua iaitu Stres Berguna (Eustress) dan Stres Berbahaya (Distress). Stres bukan seharusnya sesuatu yang negatif, sebaliknya stres yang sedikit dan sederhana dapat membantu memberi motivasi kepada seseorang untuk menyesuaikan diri dalam berdepan dengan situasi yang baru. Stres optimum pula boleh jadi pendorong dalam perkembangan diri seseorang.
Bila berhadapan dengan stres, pada mulanya degupan jantung dan tekanan darah meningkat, otot menegang dan pernafasan cepat. Perubahan fizikal ini meningkatkan fokus, kekuatan dan stamina, jadi badan bersedia untuk aktifkan mod (fight or flight)“lawan-atau-lari” dari situasi yang berbahaya.
Bagaimanapun stres yang berpanjangan dan berterusan ataupun dikenali dengan stres kronik akan mengakibatkan kesan negatif dan menjadi punca pelbagai penyakit dan masalah psikologi. Kenapa anda stres? Boleh jadi berpunca daripada diri sendiri, keluarga atau pekerjaan.
Simptom Stress Kronik
- Letih keterlaluan
- Sakit kepala
- Sakit pinggang
- Sakit tengkuk dan bahu
- Otot rasa tegang
- Muka berjerawat
- Hilang selera makan
- Gelisah
- Dada terasa berat
Stres atau tekanan membuatkan seseorang berfikir secara keterlaluan dan boleh menyebabkan hormon kortisol boleh rosak selain membunuh sel-sel otak dan mematikan sel yang baru terbentuk dalam hippocampus. Hippocampus, iaitu komponen utama otak manusia yang sangat berkait rapat dengan memori, emosi dan pembelajaran. Ia juga satu dari dua bahagian di mana proses ‘neurogenesis’ (pertumbuhan dan perkembangan sel-sel otak dan tisu saraf baru) berlaku.
Kortisol adalah hormon yang dikeluarkan oleh kelenjar adrenal sebagai tindak balas kepada tekanan. Dalam jangka pendek, kortisol membantu badan menangani situasi yang tertekan (tindak balas “fight or flight”). Walau bagaimanapun, pendedahan yang berpanjangan kepada kortisol akibat tekanan kronik boleh memberi kesan buruk kepada badan dan otak.
Hippocampus adalah sebahagian daripada otak yang terlibat dalam pembentukan memori dan pembelajaran. Penyelidikan menunjukkan bahawa pendedahan berpanjangan kepada kortisol boleh menyebabkan pembentukan sel otak baru (neurogenesis) terhalang dalam hippocampus, yang penting untuk mengekalkan fungsi kognitif dan menyebabkan kerosakan pada neuron seterusnya mengurangkan hubungan antara sel-sel otak, dan sekaligus menjejaskan fungsi kognitif.
Bukan itu sahaja, stres kronik akan memberi kesan kepada kesihatan mental seperti menjadi cepat lupa, tidak dapat tidur waktu malam dan berat badan akan meningkat. Paras kortisol (hormon stres) dalam badan akan kekal tinggi, mengurangkan isi padu otak, mengecutkan saiz dan paling teruk boleh menyebabkan sel otak mati secara perlahan-lahan. Stres juga mampu mengubah fungsi, struktur, dan aktiviti otak.
Tahukah anda, otak manusia terdiri daripada sel yang banyak, tapi sel yang paling penting digelar sel neuron yang terdiri daripada gabungan “grey matter” dan ” white matter”. “Grey matter ini yang membantu proses berfikir, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah manakala “white matter” yang membantu menghubungkan maklumat dan isyarat elektrik daripada satu sel otak ke sel otak yang lain. Stres yang teruk boleh mengakibatkan ketidakseimbangan kepada dua bahan ini dan akhirnya menyebabkan fungsi otak terjejas, akan mengecutkan dan mematikan sel otak.
Stres kronik inilah yang menjadi penyebab kepada keradangan otak dan membawa kepada pelbagai masalah kesihatan mental dan fizikal seseorang. Kesan keradangan kronik termasuk:
- Menjejaskan BBB (Blood-Brain-Barrier)
- Mengaktifkan sel mikroglial
- Mematikan sel otak
- Menghalang neurogenesis
- Mengganggu penghasilan NT (Neurotransmitter)
- Mengganggu aliran nutrisi seperti Omega3
- Menyebabkan kerosakan mitokondria
- Mengganggu hubungan saraf baru
Individu yang mengalami keradangan otak kronik biasanya akan mengalami penurunan fungsi kognitif, kawalan emosi merosot, mempercepatkan penuaan otak, bertindak secara melulu, kekurangan empati dan membuat pertimbangan secara tidak wajar.
Kesimpulannya , amalkan pengambilan nutrisi berkesan dan pemakanan seimbang, jalani gaya hidup yang sihat termasuk melakukan senaman untuk menjaga kesihatan mental dan fizikal. Jangan sesekali ambil mudah dan memandang enteng tentang stres kronik dan keradangan otak kerana ia mampu meragut nyawa seseorang.