Bila Anak Nampak Lemah Dalam Belajar, Jangan Cepat Label Mereka Malas

Ibu ayah pastinya kecewa apabia melihat anak kurang memberi tumpuan semasa belajar, lambat menyiapkan kerja sekolah atau tidak menunjukkan minat terhadap pelajaran. Dalam keletihan dan tekanan harian, mudah untuk kita terlepas cakap, “malasnya anak aku ni…”

Tapi hakikatnya, anak yang nampak lemah dalam belajar belum tentu malas. Mungkin mereka sedang bergelut dengan perkara yang kita tak nampak. Mereka mungkin keliru, hilang motivasi, terlalu leti  atau tidak tahu bagaimana untuk mula. Sebaliknya, apabila mereka terus dilabel ‘malas’, mereka akan mula percaya bahawa mereka memang tidak mampu.

Sebelum kita menilai, cubalah fahami. Di sebalik prestasi yang menurun, mungkin ada mesej yang anak cuba sampaikan dan yang hanya akan diketahui bila kita berhenti memarahi dan mula mendengar dengan hati.

Kenapa Label “Malas” Bahaya Untuk Anak?

Kata-kata seperti “malas”, “pemalas”, “tak sayang masa depan” mungkin kedengaran ringan tetapi ia boleh menghakis semangat anak dari dalam. Apabila anak selalu dilabel sebegitu, lama-kelamaan mereka akan berhenti mencuba, kerana merasa setiap usaha mereka tetap tidak cukup baik di mata ibu bapa.

Label negatif menjatuhkan. Ia bukan sekadar menjelaskan tingkah laku tetapi menjadi sebahagian daripada identiti anak yang akhirnya mereka bawa hingga dewasa. Dan kita pula, secara tidak sedar, mungkin menjadi punca mereka menyerah sebelum mencuba.

Punca Anak Nampak Lemah Dalam Belajar (Tapi Bukan Sebab Malas)

1. Tidak Faham Apa Yang Diajar

Anak mungkin tidak mempunyai asas yang kukuh dalam subjek tertentu. Bila pelajaran semakin sukar, mereka mula hilang keyakinan dan akhirnya ‘putus harapan’.

2. Sukar Fokus atau Mudah Terganggu

Ada anak yang tidak mampu duduk diam lama atau cepat hilang tumpuan. Mereka bukan tidak mahu belajar tetapi otak mereka sukar untuk bertahan lama dalam keadaan fokus.

3. Keletihan Mental dan Fizikal

Jadual yang padat, kurang tidur atau tekanan emosi boleh menyebabkan otak anak ‘shutdown’. Mereka tidak dapat menyerap maklumat dengan baik walaupun sudah cuba.

4. Takut Gagal atau Tiada Keyakinan

Ada anak yang sangat takut membuat kesilapan. Mereka lebih rela tidak mencuba daripada merasai kekecewaan. Bila keyakinan diri lemah, motivasi pun merudum.

5. Persekitaran Yang Tidak Sesuai

Bilik belajar yang tidak kondusif, bunyi bising, tekanan daripada orang sekeliling, semua ini boleh mematikan minat anak untuk belajar walaupun mereka ada keinginan.

Cara Bijak Bantu Anak Yang Lemah Dalam Belajar

1. Fahami Sebelum Menghukum

Luangkan masa untuk bertanya dengan lembut. “Bahagian mana yang susah?” atau “Kamu perlukan bantuan dekat mana?” Soalan begini lebih membantu daripada “Kenapa tak siap lagi?”

2. Bimbing Secara Konsisten

Anak yang lemah tidak perlu dimarahi tetapi mereka perlukan latihan perlahan, ulangkaji konsisten dan teknik belajar yang sesuai dengan gaya mereka.

3. Tingkatkan Keyakinan Anak

Fokus pada usaha, bukan keputusan. Bila anak buat sedikit kemajuan, puji. Bila mereka salah, betulkan dengan tenang dan beri galakan untuk cuba lagi.

4. Jaga Kesihatan Fizikal dan Emosi

Pastikan anak cukup tidur, cukup air, cukup rehat. Otak yang sihat datang daripada tubuh dan emosi yang stabil.

5. Pertimbangkan Sokongan Tambahan

Jika anak mudah lupa, cepat letih atau susah fokus, pertimbangkan pemakanan berkhasiat dan suplemen minda semula jadi yang sesuai mengikut usia mereka.

Anak yang perlahan bukan anak yang gagal. Anak yang diam bukan bermakna tidak peduli. Anak yang tersangkut dalam pelajaran mungkin cuma perlukan seseorang yang percaya padanya. Sebagai ibu ayah, kita adalah suara pertama yang mereka dengar dan suara terakhir yang mereka ingat. Pilih untuk menjadi suara yang membina dan  bukan menjatuhkan. Setiap kali anak lemah semangat, jadilah tempat mereka bertaut. Bukan untuk memberi jawapan kepada semua persoalan tetapi cukup untuk memberi keyakinan bahawa mereka tidak berjuang sendirian.

Dan bila mereka mula percaya pada diri sendiri, itu lebih berharga daripada apa pun angka di atas kertas peperiksaan.

error: Content is protected !!