Pernah tak ibu ayah perasan anak jadi susah nak fokus, cepat marah bila diminta berhenti main game atau sukar tidur walaupun dah lewat malam? Dalam dunia yang serba digital hari ini, gajet bukan lagi sesuatu yang asing untuk anak-anak. Telefon, tablet dan televisyen sudah menjadi peneman harian mereka. Kadang sebagai alat hiburan, kadang sebagai ‘penjaga’ sementara bila ibu bapa sibuk.
Namun, tanpa sedar, pendedahan berlebihan kepada gajet sebenarnya boleh memberi kesan besar terhadap perkembangan otak, emosi dan tingkah laku anak Apa yang paling membimbangkan, kesannya mungkin tidak nampak serta-merta tapi perlahan-lahan menjejaskan daya tumpuan, komunikasi, kreativiti dan keseimbangan emosi mereka.
Bagaimana Gajet Mempengaruhi Otak Anak?
Otak anak berkembang paling pesat dalam lima hingga tujuh tahun pertama kehidupan. Inilah masa emas untuk mereka membina kemahiran berfikir, fokus, bercakap, bergaul dan memahami dunia sekeliling.
Namun apabila otak anak terlalu terdedah kepada rangsangan laju dari skrin, imej bergerak pantas, animasi berwarna-warni, muzik bising dan interaksi pasif, semua ini boleh menyebabkan otak menjadi terlalu aktif secara tidak seimbang. Anak sukar belajar dalam suasana tenang kerana otak mereka ‘ketagih’ kepada rangsangan digital yang ekstrem.
Kesan Gajet Berlebihan Kepada Anak
1. Kurang Fokus dan Daya Tumpuan
Penggunaan gajet berlebihan melemahkan keupayaan otak untuk fokus dalam tempoh yang lama. Anak jadi cepat hilang perhatian, sukar mendengar arahan, dan tidak sabar dalam pembelajaran.
2. Lambat Pertuturan dan Komunikasi
Anak yang lebih banyak berinteraksi dengan skrin daripada manusia cenderung lambat bercakap. Mereka kurang peluang membina kosa kata dan kurang berlatih bertutur secara semula jadi.
3. Masalah Emosi dan Tingkah Laku
Terlalu banyak masa dengan gajet menjadikan anak lebih mudah marah, agresif atau terlalu pasif. Mereka juga boleh menjadi kurang empati dan kurang sabar apabila tidak mendapat apa yang dimahukan.
4. Kurang Daya Imaginasi dan Kreativiti
Berbanding permainan fizikal yang melibatkan imaginasi, permainan digital sering memberi jawapan terus. Anak jadi kurang mencuba, kurang berfikir dan lebih bergantung kepada hiburan yang disediakan.
5. Tidur Terganggu dan Otak Penat
Cahaya biru daripada skrin dan kandungan yang terlalu merangsang menyebabkan gangguan tidur. Anak jadi sukar tidur malam, sukar bangun pagi dan tidak segar sepanjang hari.
Apa Yang Ibu Bapa Boleh Lakukan?
Kunci utama ialah keseimbangan. Gajet boleh jadi alat pembelajaran yang baik tetapi ia perlu digunakan secara terkawal dan berpandu.
- Tetapkan had masa skrin mengikut umur anak. Kanak-kanak di bawah 6 tahun disarankan tidak melebihi 1 jam masa skrin sehari.
- Pilih kandungan berkualiti yang sesuai dengan umur, dan tonton bersama anak untuk memberi penjelasan jika perlu.
- Galakkan aktiviti fizikal dan interaksi sosial, seperti bermain di luar, melukis, membaca buku dan bersembang dengan keluarga.
- Cipta waktu bebas gajet seperti semasa makan malam, sebelum tidur dan ketika bersama ahli keluarga.
- Jadi contoh terbaik. Anak meniru lebih daripada apa yang mereka dengar dan mereka ikut apa yang mereka lihat.
Gajet Bukan Musuh Tapi Perlu Digunakan Dengan Bijak
Gajet bukan musuh. Ia bukan punca segala masalah tetapi cara penggunaannya yang tidak terkawal boleh membentuk tabiat tidak sihat dan menjejaskan perkembangan otak anak secara perlahan. Sebagai ibu ayah, kita perlu peka bahawa setiap minit yang dihabiskan depan skrin tanpa panduan adalah waktu yang anak tidak gunakan untuk membina kemahiran sebenar kehidupan seperti berfikir, bermain, berimaginasi dan berinteraksi dengan manusia.