Neuroplasticity dan Potensi Pembelajaran: Otak Anak Lebih Hebat Daripada Yang Disangka

Mungkin ada antara ibu bapa yang menyangka, kecerdasan anak atau kebolehan belajar anak adalah kekal sejak lahir. Namun sains membuktikan sebaliknya. Otak manusia sentiasa boleh berubah-ubah. Pernah terfikir tak, macam mana anak yang dulunya lambat membaca, tiba-tiba jadi lancar bila masuk tahun berikutnya? Ini semua bukan magik. Ia sebenarnya hasil daripada satu proses semula jadi yang berlaku dalam otak mereka, yang kita panggil sebagai neuroplasticity.

Apa itu Neuroplasticity?

Neuroplasticity ialah keupayaan otak untuk berubah dengan membentuk sambungan sel otak yang baharu, mencantas hubungan sel otak yang tidak digunakan dan menyesuaikan fungsinya berdasarkan pengalaman. Setiap kali anak belajar sesuatu yang baru, otaknya ‘berlatih’ membina laluan baru. Kalau diulang-ulang, laluan ini akan jadi makin kuat.

Kenapa Ibu Bapa Perlu Ambil Tahu?


Kadang-kadang kita cepat label anak sebagai “tak pandai”, sedangkan otak mereka cuma belum cukup rangsangan. Dengan latihan, persekitaran dan nutrisi yang betul, potensi otak anak boleh dikembangkan jauh melebihi apa yang kita sangka. 

4 Faktor yang Membantu Otak Anak Jadi Lebih Hebat:

  1. Pemakanan sihat : Bekalkan anak dengan nutrien seperti Phosphatidylserine, Omega-3 dan antioksidan bagi menyokong fungsi otak yang optimum.
  2. Aktiviti fizikal : Senaman membantu mengalirkan oksigen dan nutrien ke otak dan menggalakkan pembentukan sel otak baru.
  3. Tidur yang cukup : Tidur yang cukup selama 7-8 jam amat penting kerana otak ‘menyimpan’ maklumat baru yang anak-anak belajar sepanjang hari semasa tidur.
  4. Rangsangan pembelajaran dan sokongan emosi : Otak hanya boleh jadi hebat sekiranya dilatih. Pastikan anak lakukan proses pembelajaran berulang-ulang kali dan berikan mereka dorongan yang positif. Anak yang rasa disayangi dan selamat, lebih berani untuk mencuba sesuatu yang baru. 

Sebagai ibu bapa, kita boleh cipta ruang untuk anak bereksperimen. Galakkan mereka fikir sendiri sebelum beri jawapan. Gunakan permainan, cerita atau aktiviti seni untuk bantu mereka belajar dalam suasana menyeronokkan. Ulang kaji pun boleh jadi seronok bila diselit dengan kreativiti.

Otak anak ibarat span. Ia cepat serap sebarang rangsangan yang diberikan. Neuroplasticity membuktikan bahawa setiap anak boleh berjaya dengan bimbingan dan persekitaran yang sesuai. Dengan sokongan dan pembelajaran yang tepat, tiada yang mustahil untuk anak kita capai potensi maksimum mereka. 

error: Content is protected !!